Malam itu saya bermimpi berjumpa adik ipar di G.
Ia bermula dengan melihat beliau di dalam sebuah video, sedang dipukul beramai-ramai oleh tentera penjajah.
Tiba-tiba dia muncul di hadapan saya, wajahnya tersenyum seperti kebiasaannya. Kami sempat bergurau dan berseloroh, seronok kerana sudah begitu lama tidak berjumpa. Tetapi mata saya lebih tertumpu pada tubuhnya. Telinganya yang hanya tinggal satu, matanya yang sebelah tidak nampak dan luka besar di dadanya sehingga nampak tulang. Apabila dia cuba bangun, dia terhincut-hincut; rupanya kaki dia juga cedera.
Saya terjaga dari tidur.
Adik ipar saya ini antara yang terkesan di dalam serangan tiga buah roket ke atas keluarga sebelah isteri saya beberapa bulan lepas. Memang dia cedera agak parah dan memerlukan rawatan segera tetapi sempadan menghalang dia untuk keluar.
Mimpi ini berlaku beberapa hari selepas mendapat khabar gembira tentang saudara-saudara kita yang dibawa ke Malaysia untuk dirawat. Sejak itu saya tak keruan, cuba mencari peluang bertemu mereka, berbicara dengan mereka, memeluk mereka, menenangkan mereka dan membisikkan kepada mereka, jangan bimbang, kalian selamat di sini, di negara Malaysia ini.
Itulah yang kami sebutkan kepada PMX apabila berjumpa di program Muktamar Masjid Se-Malaysia Ahad lepas. Berikan peluang untuk NGO bertemu dengan mereka, berkongsi dengan mereka, membawa khabar mereka kepada rakyat. Penggerak kemanusiaan ini bukanlah lebih cerdik daripada pihak ATM atau pihak kerajaan tetapi jiwa kami sudah terasuh untuk situasi seperti ini, berdamping dengan mereka yang memerlukan.
PMX mendengar dengan tekun dan menjawab ringkas, inshaAllah, saya maklum perkara ini dan kita menunggu para doktor memaklumkan bahawa mereka sudah stabil untuk diziarahi. Alhamdulillah, ada sinar di hujung terowong. Semoga terowongnya tak terlalu panjang.
Untuk mereka di luar sana yang cuba dan suka mencipta ombak menidakkan usaha kerajaan, rakyat dan negara untuk saudara-saudara kita, mereka yang menunjukkan wajah sebenar dan mencari ruang memesongkan tindakan yang asasnya berpaksikan pembelaan rakyat yang sedang dijajah dan dibunuh, saya nasihatkan janganlah berumah di tepi pantai, takut-takut dilambung ombak dan tenggelam tak timbul semula.
Amarah rakyat terhadap penjajah mungkin belum dapat menghentikan genosid yang masih berlanjutan, tetapi ia cukup untuk mencampakkan kalian ke lembah sejarah, diingati selamanya sebagai manusia busuk hati yang tidak berperikemanusiaan.
ادامه مطلب ...